Arena Accor


Arena Accor


Arena Accor (asalnya dikenali sebagai Palais Omnisports de Paris-Bercy, dan sebelum ini sebagai AccorHotels Arena; juga dikenali sebagai Bercy dalam pertandingan yang melarangkan nama komersial seperti Sukan Olimpik) merupakan sebuah arena tertutup dan dewan konsert yang terletak di boulevard de Bercy, Bercy, Daerah 12, Paris, Perancis. Stesen métro yang terdekat ialah Bercy.

Direka bentuk oleh firma arkitek Andrault-Parat, Jean Prouvé dan Aydin Guvan, arena ini berbentuk piramid dengan dinding rumput yang bercerun. Arena ini mempunyai kapasiti tempat duduk antara 7,000 hingga 20,300, tergantung kepada acara yang dianjurkan.

Sejarah

Arena ini telah digunakan sebagai tempat pertandingan utama bagi kejohanan tenis Paris Masters yang merupakan sebahagian daripada ATP Tour, serta banyak acara sukan yang lain seperti pingpong, bola baling, bola keranjang, tinju, gimnastik, lumba basikal, show jumping dan sebagainya.

Arena ini juga merupakan salah satu tempat penganjuran konsert utama di Paris. Stadium ini telah menganjurkan konsert bagi artis Perancis dan antarabangsa seperti penyanyi rock Perancis Johnny Hallyday (99 konsert), penyanyi dan penggubal lagu Perancis Michel Sardou (91 konsert), penghibur Perancis Dorothée (57 konsert), penyanyi Kanada Celine Dion (35 konsert), penyanyi Kanada Mylène Farmer (33 konsert), kumpulan Norway A-ha (2 konsert) serta penyanyi dan penggubal lagu Amerika Madonna (21 konsert).

Stadium ini juga telah menganjurkan kejohanan gimnastik Eropah pada 2000, 1991, 1996 dan 2010 FIBA EuroLeague Final Four, serta kejohanan FIBA EuroBasket pada 1999. Arena ini juga telah menganjurkan pertandingan perlumbaan kart Masters Karting Paris Bercy, dari 1993 hingga 2001 dan pada 2011. Arena Accor juga menganjurkan Kejohanan Dunia Hoki Ais pada 2017 bersama dengan Arena Lanxess di Cologne, Jerman serta pertandingan akhir Kejohanan Eropah League of Legends 2017 dan Kejohanan Dunia League of Legends 2019.

Sebagai sebahagian daripada usaha pengubahelokan pada 2014 dan 2015, arena ini telah dinamakan semula kepada Arena Bercy pada 1 Januari 2015. Setelah hak penamaannya dimiliki oleh AccorHotels, namanya telah diubah kepada Arena AccorHotels Arena pada Oktober 2015, dan kepada Arena Accor pada Jun 2020.

Pada 24 Januari 2020, arena ini menganjurkan sebuah perlawanan musim biasa NBA antara Milwaukee Bucks dan Charlotte Hornets. Stadium ini juga mengadakan beberapa perlawanan (termasuk perlawanan akhir) EuroBasket Wanita 2021 yang dianjurkan di Perancis dan Sepanyol. Arena ini akan mengajurkan acara gimnastik dan bola keranjang pada Sukan Olimpik 2024 dan bola keranjang kerusi roda pada Sukan Paralimpik 2024.

Rujukan

Pautan luar

  • Tapak web rasmi (dalam bahasa Perancis)

Text submitted to CC-BY-SA license. Source: Arena Accor by Wikipedia (Historical)


Langue des articles



ghbass

Quelques articles à proximité